Jumaat, 22 April 2011

Takrif Tamadun Mengikut Sarjana Islam dan Barat

Takrif Tamadun Mengikut Sarjana Islam dan Barat
Perkataan tamadun secara umumnya dikaitkan dengan konsep pembangunan, perubahan, kemajuan dan peradaban yang dicapai oleh sesuatu bangsa atau kaum di dunia. Berbagai-bagai definisi dan takrifan telah diberikan kepada perkataan tamadun mengikut aliran dan bidang. Mengikut Dr. M.A J. Beg: 1980 (dalam Mustafa Haji Daud: 1985), bahawa terdapat tiga golongan yang secara langsung memberikan sumbangan dalam membantu memberikan definisi tamadun. Golongan yang pertama; ahli sejarah, golongan kedua; ahli antropologi dan golongan ketiga; ahli sejarah. Definisi tamadun yang diberikan oleh golongan yang ketiga lebih tepat dan bernilai berbanding dengan golongan pertama dan kedua.
     Perkataan tamadun juga tidak boleh dipisahkan dengan perkataan kebudayaan, peradaban dan kemajuan. Begitu juga pengertian perkataan civilization (tamadun) dalam bahasa Ing­geris digunakan juga dengan perkataan culture (kebudayaan) atau digunakan dalam konteks yang sama. Keempat-empat perkataan itu saling kait mengait dan cakup mencakupi. Namun begitu definisi perkataan tamadun dan kebudayaan diberi penekanan dalam perbincangan ini.
     Perkataan tamadun, mengikut Ghazali Basri (1984) me­rupakan perkataan kata kerja maddana yang bererti membina atau mengasas sesebuah bandar. Dan perkataan maddana ini juga didapati beberapa istilah terbitan yang masing-masing memperlengkap pengertian di antara satu sama lain, umpama­nya; 'Madinah' bererti bandar. Dalam konteks ini Madinah bererti kebudayaan yang tinggi nilainya dan istilah tamadun sendiri memberi erti civilization. Penukaran nama ’Yathrib’ kepada ’Madinah’ oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah mem­bawa pengertian bandar. Bahkan konsep bandar tersebut mempunyai pengertian yang lebih luas iaitu merujuk kepada pembangunan manusia daripada aspek akhlak dan tata­susila kemanusiaan dalam segenap lapangan hidup setelah mereka menerima Islam. Kata kerja maddana ini juga mem­punyai hubungan dengan istilah ad-din yang digunakan untuk agama Islam. Ad-din al-Islam (agama Islam) itu sendiri meng­gambarkan kepada kita tentang konsep tamadun, sebabnya di dalam ad-din al-Islam itu terkandung sistem kehidupan yang lengkap. Dalam konteks Islam, pengertian tamadun adalah dilihat dari segi pembinaan akhlak dan tatasusila manusia yang bersifat kualitatif.
      Beberapa definisi bagi perkataan tamadun telah diberikan oleh tokoh-tokoh Islam dan diutarakan oleh kamus dalam ba­hasa Malaysia. Antaranya ialah Kamus Dewan (1989), men­jelaskan tamadun sebagai keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain) yang tinggi peradabannya. Manakala mengikut Abu Bakar Hamzah (1972), tamadun adalah suatu yang lahir dan berkembang bersama kehidupan manusia sama ada berupa skala-abstrak, mahupun berupa skala-material. Manakala mengikut Mahmood Taib an-Najmi (1971), tamadun me­rupakan peraturan masyarakat yang dapat membantu manusia untuk menambahkan hasil pengeluaran sama ada dari segi pe­mikiran atau kebendaan. Manakala mengikut Ibnu Khaldun (1967), tamadun atau peradaban sebagai pencapaian manusia yang melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.
      Keempat-empat definisi berkenaan telah merumuskan bahawa tamadun dikaitkan dengan hasil. Hasil tamadun boleh di­bahagi kepada dua bahagian iaitu kebendaan (berupa skala­material) dan pemikiran (berupa skala-abstrak)•. Ibnu Khaldun menyatakan hasil sesuatu tamadun tersebut seharusnya menghasilkan daya cipta yang mempunyai nilai seni dan halus. Namun begitu terdapat perbezaan yang ketara di dalam ke­empat-empat definisi itu berasaskan kepada penggunaan rangkai kata pada pangkal definisi. Kamus Dewan menyata­kan; keadaan masyarakat manusia yang didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan, Abu Bakar Hamzah pula menyatakan; tamadun lahir dan berkembang bersama kehidupan manusia, Mah­mood Taib menyatakan; Tamadun ialah peraturan masyarakat yang dapat membantu manusia dan Ibnu Khaldun menyatakan:
 Tamadun ialah pencapaian manusia yang melebihi keperluan asasi kehidupan.
      Seterusnya kita lihat beberapa definisi tamadun atau civiliza­tion yang diutarakan oleh beberapa orang tokoh Barat. Meng­ikut Will Deorand di dalam bukunya yang berjudul History of Civilization (dalam M.A J. Beg: 1980) menjelaskan tamadun sebagai satu sistem sosial yang menolong manusia bagi mem­pertinggikan kedudukan kebudayaan. Deorand juga menyata­kan tamadun.-Iialah sesuatu kemajuan atau ciptaan baru yang dilahirkan oleh sesuatu umat untuk menjadikan hidup mereka lebih tenteram dan lebih senang. Redfield (M.A J. Beg: 1980) menjelaskan bahawa tamadun ialah satu cara hidup yang dapat diberikan kriteria tertentu. Redfield telah mengibaratkan tamadun sebagai beberapa puncak pencapaian sama seperti puncak-puncak gunung di permukaan bumi ini. Begitu juga definisi yang diberikan oleh Arnold Toynbee di dalam karyanya yang berjudul A Study of History (M.A J. Beg: 1980), tamadun sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di dalam kota. Tamadun juga merupakan satu gugusan pemikiran dari berbagai-bagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik kesusasteraan, agama dan moral.
Mengikut A.S. Hornby dan E.C. Parnwell (dalam Mustafa Haji Daud: 1991) menjelaskan bahawa civilization atau tama­dun bererti meningkatkan pencapaian hidup manusia daripada kemunduran kepada kemajuan dalam bidang ilmu, sains, tek­nologi, politik, moral dan sebagainya. Secara amnya, terdapat persamaan di antara definisi yang diberikan oleh tokoh-tokoh Islam dan barat mengenai tamadun. Mereka menyatakan bahawa tamadun menghasilkan sesuatu perubahan dan kema­juan yang dicapai oleh sesuatu bangsa, negara atau kelompok.
     Seterusnya kita perlu melihat definisi perkataan kebudayaan atau culture atau thaqafah. Kebudayaan disebut dalam bahasa Inggeris sebagai culture, bahasa Jerman ialah kultur dan dalam bahasa Arab ialah thaqafah  (ثقـــافة) . Kebudayaan pula didefinisikan dengan beberapa definisi, antaranya mengikut Kamus Dewan (1989), kebudayaan bermaksud keseluruhan cara hidup (yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir) serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tama­dun, peradaban, kemajuan, akal budi dan sebagainya. Mana­kala mengikut Abu Bakar Hamzah (1972), kebudayaan adalah sesuatu yang dihasilkan oleh manusia dalam bentuk abstrak iaitu sesuatu yang tidak dapat dirasai oleh pencapaian pancaindera. la dirumuskan oleh akal dan budi manusia.
     Haji Agus Salim (dalam Mustafa Haji Daud: 1985) menya­takan kebudayaan ialah persatuan antara budi dan daya menjadi makna yang sejiwa, tidak lagi menerima perubahan, pembahagian atau dipecah-pecah atas dua maknanya masing-­masing. Budi mengandungi makna akal, fikiran, pengertian, faham, pendapat, ikhtiar dan perasaan. Daya pula mengan­dungi tenaga, kekuatan dan kesanggupan. Kebudayaan ber­maksud semua usaha dan daya upaya yang dikerjakan dengan menggunakan hasil pendapat budi untuk memperbaiki sesuatu dengan tujuan mencapai kesempurnaan. Drs. Sidi Ghazalba (1983), menyatakan kebudayaan adalah cara berfikir dan cara merasa dalam kehidupan manusia yang membentuk kesatuan sosial, dalam suatu ruang dan suatu waktu atau cara hidup.
     Mengikut Kamus Websters New American Dictionary kebu­dayaan ialah semua pengetahuan, kajian, kesenian, sastera, kepercayaan dan adat kebiasaan dari golongan manusia seperti kebudayaan Yunani. Manakala mengikut E.B. Taylor kebu­dayaan adalah sesuatu kesatuan jalinan yang meliputi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, susila hukum, adat dan setiap kesanggupan yang diperoleh oleh seseorang sebagai anggota masyarakat. Jelaslah daripada definisi-definisi kebu­dayaan di atas, mereka menyatakan bahawa kebudayaan itu terdiri daripada bahasa, cara berfikir, agama, adat resam, kepercayaan, kesenian dan lain-lain. Kesemuanya merupakan aktiviti-aktiviti akal fikiran.
     Seterusnya kita perhatikan definisi peradaban dan kemajuan untuk dijadikan perbandingan. Peradaban mengikut Kamus Dewan (1989), bermaksud keadaan serta tingkat kemajuan pada keseluruhan jasmani dan rohani (sesuatu bangsa, masya­rakat dan sebagainya), tamadun. Manakala kemajuan pula ber­maksud bertambah baik keadaannya (taraf hidup, pelajaran, perniagaan dan sebagainya), tinggi tamadunnya atau kemajuan yang berkaitan dengan aspek kebendaan (seperti ekonomi dan sebagainya) dan kerohanian (seperti etika, moral dan sebagai­nya).
     Secara amnya keempat-empat perkataan iaitu tamadun, kebudayaan, peradaban dan kemajuan saling kait mengait dan lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Apabila diper­hatikan daripada huraian di atas, secara keseluruhannya ter­dapat satu perbezaan yang nyata di antara pandangan Islam dan barat. Tamadun dan kebudayaan barat adalah berlandaskan semata-mata kepada pemikiran dan akal dalam menentukan corak ragam kehidupan seharian. Sebaliknya tamadun dan kebudayaan Islam bukan berdasarkan kepada akal fikiran semata-mata tetapi berasas dan berlandaskan kepada wahyu dan al-Sunnah. Sesuatu bentuk tamadun dan kebudayaan yang bertentangan dengan ad-din Islam atau bertentangan dengan isi kandung al-Quran dan Hadis, dengan sendirinya la bukan tamadun dan kebudayaan Islam seperti yang dijelaskan oleh Ghazali Basri (1984).
      Kesimpulannya, tamadun Islam lebih luas skopnya yang meliputi kemajuan dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berlandaskan serta bersumberkan kepada wahyu, al-Sunnah dan akal fikiran. Mengikut Mustafa Haji Daud (1991), tamadun Islam dapat dijelaskan dengan erti kata yang paling ringkas sebagai pencapaian manusia dalam bidang kerohanian dan kebendaan yang berpusat di kota dalam bentuk skrip, seni bina, ilmu pengetahuan, sains, teknologi, kepercayaan, undang-undang politik dan sebagainya yang berasaskan kepada akidah, syariat dan akhlak dan bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Manakala mengikut Abu Bakar Hamzah (1972), tamadun dan kebudayaan Islam ialah sesuatu hasil pemikiran orang-orang Islam ber­landaskan kepada ad-din Islam sendiri dan termasuklah semua kebendaan yang digunkan dalam kehidupan mereka seharian.





6 ulasan:

  1. Assalamualaikum..

    Terima kasih atas perkongsiannya.. tetapi mungkin pengarang boleh membuat pembetulan pada
    "Golongan yang pertama; ahli sejarah, golongan kedua; ahli antropologi dan golongan ketiga; ahli sejarah"

    tertera pengulangan Ahli sejarah bagi golongan pertama dan ketiga.

    Sekian untuk makluman. terima Kasih

    BalasPadam
  2. info yang jelas tapi terdapat pengulangan ayat iaitu ahli sejarah di situ.

    BalasPadam
  3. Best Online Casino Sites in Canada | Casino Site | Bonuses
    Looking for Online Casino Sites in Canada? septcasino Check our list of the best Casino Sites for Canadian players 메리트 카지노 ✓ Find the BEST Bonus offers 카지노사이트 and Play for

    BalasPadam